Followers

Saturday 15 September 2012

Mengingati Mati itu harus

Mengingati Mati Lembutkan Hati


Ketika Amirul Mukminin Khalifah Umar bin al-Khattab RA mengalami sakratul maut, beliau meminta kepada anaknya supaya meletakkan pipinya di atas tanah. Umar RA menangis sambil berkata: ”Semoga Allah mengampuniku, Wahai Tuhan Pemilik Kerajaan yang tidak akan hilang, kasihanilah orang yang kerajaannya telah hilang.”

Mati yang diimpikan oleh orang beriman adalah mati yang membawa kepada kehidupan yang baru. Hidup dalam pelukan rahmat Tuhannya. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: ”Janganlah kamu menyangka bahawa orang-orang yang terbunuh di jalan Allah itu mati, bahkan mereka itu hidup, di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki.” Surah Ali ‘Imran: Ayat 169.

Terbunuh di jalan Allah bermakna mati syahid ketika berperang fi sabilillah. Bagaimanakah pula halnya dengan hamba-hamba Allah yang mati di atas katilnya? Yang menderita sakit atau orang yang mati tanpa sempat mengucapkan kata-kata perpisahan kepada keluarganya? Adakah mereka mendapat nikmat hidup di sisi Allah SWT sama seperti orang yang mati syahid?

Sebenarnya mereka juga akan mendapat kenikmatan yang tak kurang hebatnya berbanding saudara-saudara mereka yang syahid itu. Ini dinyatakan menerusi sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ”Jika salah seorang di antara kalian mati, maka ditampakkan kepadanya tempat tinggalnya setiap pagi dan petang. Jika ia ahli syurga maka ia termasuk penghuni syurga dan jika ia ahli neraka maka ia termasuk penghuni neraka. Lalu dikatakan: ”Inilah tempat tinggalmu hingga Allah membangkitkanmu pada hari kiamat.” Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Ibnu Umar berkata: ”Perumpamaan orang mukmin saat roh dikeluarkan dari jasadnya adalah seperti orang yang keluar dari dalam penjara ke alam yang bebas. Ketika dia meninggal dunia ditampakkan kepadanya kurniaan Allah dan kemuliaan-Nya yang tak pernah dilihatnya di dunia. Tentu dia tidak mahu kembali lagi ke dunia sepertimana dia tidak mahu kembali ke dalam perut ibunya.”


Mengaku diri tidak takut mati adalah pembohongan yang nyata. Siapa yang tak gerun berhadapan dengan pertuduhan yang mempunyai bukti dan saksi yang kukuh. Tiada tipu helah yang dapat dilakukan, walaupun ketika hidup dia terkenal sebagai seorang yang petah bercakap, pandai berbelit lidah, memutar balik fakta dengan pembohongannya tetapi di alam barzakh nanti, wajah mayatnya yang pucat itu jelas menunjukkan tiada berguna lagi lidah yang fasih berhujah.

Tangannya yang menunjukkan kuasa ketika di dunia telah terikat oleh kafannya sendiri. Kaki yang kukuh menginjak kepala orang-orang miskin itu kini jadi umpan kala dan ular berbisa. Wajah yang dulu berseri hingga ramai manusia yang suka memandang dan memuji telah rosak binasa oleh semut-semut tanah yang menyakitkan apabila mereka mula menggigit, mengunyah perlahan-lahan daging di tulang pipinya, berpindah ke mulut yang busuk lantaran suka mengumpat, naik ke tulang hidung yang sombong, kedua biji mata yang gatal dan bernafsu itu kini binasa oleh tikus tanah yang kelaparan. Tulang-tulang rusuk dihimpit bumi yang marah oleh kezaliman yang dilakukannya dahulu. Jika semua manusia boleh mendengar jeritan orang yang disiksa di dalam kuburnya nescaya tiada lagi kehidupan di muka bumi ini.

Masihkah ada rasa takut yang lebih dahsyat daripada ketakutan melalui malam pertama di dalam kubur? Bagaimana dengan rasa sedih yang menghantui mayat yang terbuang sendirian? Di manakah isterinya, anak-anak dan saudara mara yang mengasihi? Mereka tentu sibuk membahagi harta yang ditinggalkan. Bagaimana perasaaan lelaki yang mengetahui isterinya melupakan cinta mereka berdua? Kisah cinta yang terkubur bersama jasad yang tiada layak untuk dicintai lagi. Bukankah ramai lelaki lain yang boleh menjadi calon penggantinya nanti? Adakah kesedihan yang lebih dahsyat daripada menyaksikan semua orang yang menangis itu meninggalkannya sendirian tanpa teman dan pertolongan?

Perasaan sedih dan takut boleh menggoncangkan hati siapa sahaja di dunia ini, tetapi kita boleh mengubat kesedihan dan mengawal ketakutan itu jika kita masih hidup. Bagaimana jika kita sudah mati? Siapa yang akan menolong kita dari siksaan perasaan sebegitu?

Hanya amal saleh yang mampu menjadi teman di kala takut dan sedih. Mata yang membaca al-Quran, lidah yang berzikir, tangan yang bekerja kerana Allah SWT dan kaki yang tegak kerana iman. Semuanya menjadi cahaya di kegelapan kubur. Di dalamnya ada pemandangan syurga ataupun neraka. Hingga ke hari kebangkitan yang dijanjikan.

No comments:

Post a Comment